Pandangan GBM berkenaaan Rombakan Sistem Politik Kita Lima Belas Pilihanraya Selepas Kemerdekaan
- 10th December 2022
- Press Statement
- View More Info
Lebih dari 70 tahun lepas, Onn Jaafar, pengasas UMNO, mula menolak struktur dan polisi berasaskan kaum dalam UMNO dan parti-parti politik lain di Malaya, yang mana beliau melihatnya sebagai memberi kesan buruk terhadap pembangunan negara.
Bertindak atas dasar yang berpandangan jauh ini, Onn, yang dianggap sebaris dengan Tunku Abdul Rahman sebagai pemimpin terulung dalam perjuangan kemerdekaan Malaya, telah menyeru UMNO agar membuka keahliannya kepada rakyat Malaya dari semua kaum, dan untuk parti tersebut dinamakan semula sebagai United Malayan National Organisation.
Apabila cadangannya tidak disokong, beliau keluar parti pada 26 Ogos 1951 untuk menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP), parti bukan berasaskan kaum yang pertama di Malaya. IMP gagal memenangi sokongan dari pengundi Malaya dan dibubarkan pada tahun 1953. Ia adalah sebuah parti yang tidak dapat melangkaui kekuatan dan sumber yang dimiliki oleh parti-parti berasaskan kaum ketika itu. Ia juga adalah sebuah parti yang mendahului masanya dalam usahanya untuk merombak politik identiti dan sistem politik berasaskan kaum dan agama ketika itu.
Hari ini, selepas lima belas pilihan raya umum, sudah tiba masanya untuk parti-parti berasaskan kaum dan agama untuk mendapatkan inspirasi daripada Onn Jaafar dan mencari jalan untuk menamatkan atau mengubah sistem parti berasaskan kaum dan mewujudkan sebuah parti politik yang bukan berasaskan kaum dan berbilang kaum sebagai ganti.
Kami amat tertarik dengan ucapan Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional , dalam sebuah ceramah umum pilihan raya di Padang Serai di mana beliau mengatakan bahawa politik keterangkuman dan perpaduan kini adalah lebih relevan berbanding sebelumnya di Malaysia.
Beliau juga berkongsi dua pandangan lanjut. Pertama, sekarang bukan masanya untuk melihat ke belakang dan bercakap mengenai masa lampau, terutamanya persengketaan politik antara PH dan BN. “Ini adalah takdir kita untuk bekerjasama dengan PH dalam kerajaan dan ini pengakhiran kewujudan BN dan UMNO seperti yang anda tahu”.
Kedua adalah harapannya agar kerajaan perpaduan ini bekerjasama bukan sahaja untuk lima tahun atau sepuluh tahun yang akan datang tetapi selepas itu. “Saya harap ini bukan sahaja untuk lima tahun, tetapi saya harap ia akan menjadi satu gabungan besat yang membentuk sebuah kerajaan hebat yang memimpin negara ke hadapan”.
Ucapan ini boleh dianggap sebagai lanjutan kepada seruan untuk perpaduan nasional oleh Yang Di-pertuan Agong dan Raja-raja yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan perpaduan kini.
Pendapat Baginda dalam soal perpaduan nasional dan ucapan Zahid boleh dianggap sebagai memenuhi sentimen umum di seluruh negara yang mahu negara ini dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu menolak politik polarisasi kaum dan agama.
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) sebagai sebuah gabungan pelbagai kaum dan bahasa yang dianggotai lebih 20 NGO dari pelbagai latar belakang dan fokus yang datang bersama-sama untuk memainkan peranan membentuk Malaysia yang lebih baik, melihat konsensus baru dalam perpaduan nasional sebagai satu peluang untuk memulakan satu perbincangan dan tindakan nasional yang boleh membawa kepada penstrukturan semula komposisi parti berasaskan kaum dan agama di Malaysia. Penstrukturan semula ini sepertimana yang diimpikan oleh Onn Jaafar dan kini diteruskan oleh pemimpin politik generasi kini boleh membawa kepada asas yang lebih stabil dan kukuh untuk perpaduan nasional.
Kebangkitan parti-parti bukan berasaskan perkauman dari gabungan politik sedia ada boleh menjadi satu contoh kepada badan-badan dan persatuan-persatuan lain di Malaysia untuk membuka keahlian mereka kepada semua kaum dan mengamalkan polisi dan aktiviti yang lebih terbuka. Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam perjalanan kita untuk menjadi sebuah negara yang betul-betul inkllusif dan harmoni.